Header Ads

Beri Sedikit Masa Untuk Laksana Janji - Guan Eng



Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan janji yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, Guan Eng meminta rakyat supaya memberikan kerajaan baharu sedikit masa untuk melaksanakan janji berkenaan berikutan situasi kewangan negara yang tidak begitu baik terutama hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

"Kita masih komited untuk melaksanakan janji tapi kita akan melaksanakannya apabila situasi kewangan negara bertambah baik kelak.

"Kita perlukan kedudukan kewangan yang stabil untuk melaksanakan janji dan kita pasti akan melaksanakannya. Saya harap anda akan berikan kita masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas melancarkan Program Pemecut Global (GAP) Kohort Kedua di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini.

Sesi dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Guan Eng berkata, walaupun negara berdepan masalah kewangan, PH tetap berjaya melaksanakan janji dalam manifesto berkenaan iaitu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pembayaran Bantuan Sara Hidup kepada yang layak.

Selain itu, katanya, kerajaan baharu akan terus menyediakan platform dan persekitaran kondusif untuk perniagaan baharu berkembang di negara ini dan beliau juga mahu golongan usahawan menerapkan semangat yakin boleh untuk berjaya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu berperanan memastikan perniagaan di negara ini boleh berjalan dengan baik dan rakyat hidup sejahtera, bukan terbabit dengan perniagaan dan mengutamakan keuntungan melebihi kepentingan rakyat.

"Saya tidak faham kenapa kerajaan perlu terbabit dalam perniagaan. Ya, perniagaan itu penting tapi tujuan utama kerajaan itu sendiri bukan membuat keuntungan tetapi memudahkan hidup rakyat," katanya.

Sementara itu, seramai 27 usahawan perniagaan baharu terpilih dalam GAP Kohort Kedua daripada 961 permohonan yang diterima, yang akan dibantu dalam mengasah kemahiran, pengetahuan dan rangkaian dalam tempoh empat bulan bagi menarik pelabur serta menembusi pasaran antarabangsa.

kredit:Bharian

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close