Header Ads

Guan Eng sebagai sengaja mempermainkan sentimen perkauman - Pemuda UMNO


Pemuda UMNO menuntut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat kerana didakwa merendahkan martabat Bahasa Kebangsaan berhubung isu kenyataan rasmi kementerian itu dalam bahasa Mandarin.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut menggesa Setiausaha Agung DAP itu menarik balik kenyataan berkenaan.

Katanya, tindakan Guan Eng itu bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan 'Bahasa Kebangsaan Hendaklah Digunakan Bagi Maksud Rasmi' yang mana dalam konteks ini umum mengetahui bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu.

"Sebagai orang lama dalam arena politik, Guan Eng seharusnya lebih peka dan sensitif bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan tidak boleh menyentuh hal serta perkara yang termaktub dan dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Setiap perkara dalam Perlembagaan termasuk kedudukan bahasa Melayu adalah 'Tiang Seri' yang menjadi satu citra dan wajah kepada peradaban dan ketamadunan bangsa Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Justeru, kalau benar merasai diri lebih Malaysia daripada Cina sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini, pemakaian Bahasa Kebangsaan tidak wajar dikompromi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini .

Guan Eng dilaporkan mempertahan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan dalam Facebook untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu pada Khamis, dikeluarkan hanya dalam bahasa Mandarin semalam.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu itu dan menyifatkan Guan Eng sebagai sengaja mempermainkan sentimen perkauman, malah cuba menghina kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Katanya, mengenepikan penggunaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi Kerajaan Persekutuan tidak boleh diterima sama sekali.

"Janganlah atas nama Malaysia Baharu, semua perkara hendak dihalalkan sehingga sanggup mencabuli prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 61 tahun lalu," katanya.

cc.Bharian

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close