Header Ads

Kementerian Pendidikan Sedang Mengkaji Kemungkinan Murid Tidak Perlu Lagi Membawa Buku Teks Ke Sekolah


Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kemungkinan murid tidak perlu lagi membawa buku teks ke sekolah sebagai antara penyelesaian masalah beban beg berat.

Menterinya, berkata masalah beban beg sekolah adalah antara isu utama yang ditampilkan pelbagai pihak terutama ibu bapa dalam cadangan penambahbaikan sistem pendidikan Malaysia yang mula dibuka sejak minggu lalu.

Katanya, hingga kini sudah lebih 11,000 cadangan dan masalah sistem pendidikan diketengahkan pelbagai pihak dalam platform perisian Google Document khas yang dibangunkan bagi menerima semua aduan dan pendapat.


Masalah Beban Beg Berat Murid 

"Masalah beban beg berat murid membabitkan sekolah rendah menjadi antara isu yang banyak diketengahkan pelbagai pihak setakat ini dan kita sedang melihat jalan penyelesaiannya.

"Antara yang sedang dikaji ialah murid mungkin tidak perlu lagi membawa buku teks ke sekolah dan sistem pembelajaran yang lebih berkonsep pertanyaan (enquire base) dan kajian boleh diterapkan seperti yang diguna pakai negara maju yang tidak bergantung kepada buku teks di dalam kelas.

"Bagi saya penyelesaian sebegini boleh dan realistik dilaksanakan kerana ia tidak membabitkan kos selain memudahkan murid dan guru.


Isu Lain

"Isu lain yang banyak dikemukakan adalah masalah sistem Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang digunakan guru seluruh negara, masalah graduan membabitkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta masalah siswa membabitkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan mengejut di Pusat Pelupusan Sampah Ladang CEP Renggam, dekat Simpang Renggam, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata, berkaitan isu AUKU beliau memberi jaminan Pakatan Harapan (PH) akan mengotakan janji yang dibuat untuk memansuhkannya.

"AUKU akan diganti dengan akta baharu yang lebih baik dan tiada lagi campur tangan politik terhadap universiti dan siswa. Kementerian Pendidikan akan mengadakan sidang media Khamis ini bagi memberi perincian penuh isu berbangkit termasuk penyelesaian yang boleh diguna pakai," katanya.

Kredit: Bharian

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close