Header Ads

Risiko pesakit diabetes berpuasa


BERPUASA bukan suatu masalah, namun bagi sesetengah pesakit terutama penghidap diabetes mereka perlu peka makanan yang boleh diambil atau dielakkan ketika berbuka mahupun bersahur.

Bolehkah golongan ini berpuasa? sedangkan mereka berdepan berisiko 1.6 kali lebih tinggi diserang hipoglisemia hingga membawa kepada kesan berpeluh, badan menggeletar dan denyutan jantung menjadi laju.

Risiko lain termasuk hiperglisemia, menyebabkan pesakit diabetes jenis 2 berisiko lima kali dimasukkan ke hospital manakala diabetes jenis 1 pula tiga kali berdepan risiko sama.

Justeru, Nestle Health Science dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan panduan pemakanan khas untuk penghidap diabetes, bagi membolehkan mereka menjalani ibadat puasa dengan selesa dengan menjaga tahap gula yang selamat.

Pegawai Eksekutif Perniagaannya, Emilyn Loo, berkata buku berjudul Nutren Untuk Diabetik menyediakan penyelesaian dan pendidikan praktikal menjalani puasa dengan selamat dalam kalangan penghidap diabetes.

"Sebagai pihak berkepentingan dalam penjagaan diabetes, kita berharap maklumat ini membantu pesakit menguruskan diabetes dengan sempurna.

"Buku ini menyediakan panduan makanan lengkap disediakan Pengurus Kanan Perkhidmatan Dietetik dan Makanan IJN, Mary Easaw," katanya.


EMILYN Loo (kiri) bersama Siti Farhath Sehu Allavudin menunjukkan buku panduan pemakanan khas untuk penghidap diabetes di Institut Jantung Negara. - Foto Amirudin Sahib
Sementara itu, Timbalan Pengurus Perkhidmatan Dietetik & Makanan IJN, Siti Farhath Sehu Allavudin, berkata beberapa kelompok pesakit diabetes berada dalam risiko berlaku peningkatan kadar gula dalam darah.

"Golongan berisiko termasuklah warga emas, wanita hamil dan mereka yang melakukan lebih kerja fizikal. Dalam keadaan sedemikian mereka berhadapan keadaan bacaan gula meningkat selain hipoglisemia (gula darah rendah) dan kesan dehidrasi ketika berpuasa," katanya.

Katanya, terdapat kemungkinan peningkatan hiperglisemia (gula darah tinggi), ketika bersahur dan berbuka.

"Ini bermakna pesakit tidak boleh meninggalkan sahur, nikmati dengan sajian seimbang termasuk makanan daripada sumber karbohidrat mencukupi.

"Pesakit dinasihat berbuka tepat pada waktunya dan mengambil air mencukupi menggantikan kehilangannya pada waktu siang," katanya.

Katanya, penghidap diabetes perlu merangka pelan pengurusan makanan secara profesional termasuk mengambil berat penjagaan kesihatan sebelum berpuasa.

"Kegagalan berbuat demikian menyebabkan tahap gula dalam darah tidak terurus dan diabetes tidak terkawal.

"Pesakit yang mengambil ubat menurunkan gula dalam darah, dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan panduan selamat langkah berjaga-jaga bagi mengelak paras gula dalam darah meningkat atau jatuh," katanya.

Ramadan recipe book cooking demo by Mary Easaw at Institut Jantung Negara. NSTP/Amirudin Sahib.
Sementara itu, Mary berkata, penghidap diabetes perlu membataskan pengambilan makanan bergoreng atau berlemak dan makanan mengandungi garam serta gula yang tinggi. Namun begitu, satu hingga dua kurma boleh diambil ketika berbuka.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan lapan resipi 'mesra' pesakit diabetes yang cepat dan mudah seperti Yogurt Curry Marinated Fish, Buzz Coffee Smoothie Morning, bubur lambuk dan Tikka Masala Kubis Bunga yang semuanya menggunakan minuman nutrisi lengkap dan seimbang.

Buku panduan ini boleh didapati secara percuma dengan melayari laman web, www.nestlehealthscience.my.

Info

Kurangkan makan bergoreng atau berlemak
Makanan tinggi garam dan gula menyebabkan paras gula darah berada pada bacaan tidak sihat
Ambil satu hingga dua kurma pada permulaan berbuka.

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close