Header Ads

Shahrizat Jalil mengumumkan beliau undur diri selepas 39 tahun




Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Jalil mengumumkan beliau undur diri selepas 39 tahun terlibat dalam politik.

Shahrizat berkata beliau telah melepaskan semua jawatan dalam parti dan menjadi ahli Umno biasa.

“Dalam politik, kita perlu sedar bila kita harus berundur.

“Saya berada dalam bidang ini sudah terlalu lama.

“Sudah tiba masanya untuk beri laluan kepada mereka yang lebih muda.

“Saya bekerja dengan ramai anggota Wanita dan ramai yang berkemampuan untuk menjadi ketua.

“Saya yakin saya tinggalkan sayap Wanita kepada calon terbaik,” katanya kepada pemberita selepas membuat undian untuk memilih ketua-ketua tiga sayap iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.

Kata beliau, legasi yang ditinggalkannya adalah ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama 11 tahun dalam tempoh hampir empat dekad di dalam politik.

Menurut Shahrizat, antara pencapaian beliau adalah mendapatkan pindaan ke atas Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang diskriminasi jantina berlaku.

“Banyak undang-undang yang diaudit bagi memastikan hak dan kepentingan wanita dilindungi.

“Ia adalah sumbangan terbesar saya,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baharu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan berbangga dengan pencapaian pemimpin itu walaupun mereka berbeza parti politik.

Artikel Sebelum Ini

Shahrizat tak pertahan Ketua Wanita Umno

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang akan diadakan pada 30 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana memandang serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno.

“Masanya sudah tiba untuk Wanita Umno diketuai oleh seorang ketua Wanita baharu yang mampu membawa cara dan idea baharu yang mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita Umno tetapi juga mendapat sokongan rakyat.

“Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga. Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita Umno, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutama untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta semua ahli dari sayap Umno itu terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan sebagai tulang belakang dalam parti.

Beliau menambah, seorang pemimpin sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktikkan kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

“Sebagai ‘Ibu Terbaik Bangsa’, walau di mana jua kita berada, Wanita Umno mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat berbilang kaum,” ujar Shahrizat.

Shahrizat menjadi Ketua Wanita Umno pada 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close