Header Ads

Siti Zabedah Kasim dibebaskan



Peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim yang ditahan malam tadi dibebaskan hari ini selepas Mahkamah Majistret Kajang menolak permohonan polis untuk menahan reman aktivis itu.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Peguam yang mewakili Siti Kasim, Datuk S Ambiga berkata, majistret tidak membenarkan permohonan reman itu kerana tidak memenuhi syarat untuk beliau ditahan lanjut.


“Selepas mendengar hujah pihak polis dan peguam, majistret telah tolak permohonan reman,” katanya yang mengetuai 12 peguam yang mewakili Siti Kasim.

Pagi tadi, Siti Kasim dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dalam pakaian lokap dengan tangan bergari dan diiringi lima anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat sebelum itu berkata, polis menahan Siti Kasim kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam.

Beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada pukul 12.40 malam tadi selepas laporan polis dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa peguam itu melarikan anak perempuannya yang berumur 24 tahun Khamis lepas.

Siti Kasim didakwa melarikan wanita itu ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang.

Menurut Fadzil, polis kemudian menyelamatkan mangsa dari sebuah unit kondominium di Segambut, lebih kurang pukul 9 malam tadi.

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close