Header Ads

Terkini ! Israel Dan Gaza Berbalas Serangan Selepas Sukarelawan Ditembak



Pesawat pejuang Israel menyerang 10 sasaran Hamas di Gaza sebagai tindak balas serangan meriam Palestin, kata tentera Zionis hari ini, menghancurkan gencatan senjata dicapai beberapa hari lalu selepas peningkatan terburuk keganasan sejak perang 2014.

Kemuncak konflik terbaharu itu berlaku beberapa jam selepas ribuan penduduk Palestin menghadiri majlis pengebumian seorang sukarelawan medik wanita yang dibunuh Israel dalam keganasan di sempadan selatan Gaza.


Jet pejuang Israel menyasar 10 sasaran Hamas

"Jet pejuang Israel menyasar 10 sasaran Hamas di tiga kemudahan tenteranya di Semenanjung Gaza. Antara yang disasarkan adalah dua tapak pembuatan dan simpanan senjata serta perkarangan tentera," kata tentera Zionis awal hari ini.

Tentera Israel berkata, serangan itu adalah bagi membalas tembakan roket dilepaskan ke arah negara Yahudi itu serta 'pelbagai aktiviti keganasan diluluskan Hamas pada hujung minggu.'

Petang semalam, pejuang Palestin melepaskan dua roket di selatan Israel di mana siren serangan udara dibunyikan, menyebabkan penduduk lari ke menyelamatkan diri.

Menurut tentera Zionis, sistem pertahanan udara Iron Dome memintas satu daripada roket sementara satu lagi dipercayai jatuh sebelum sampai ke sasaran.

Tiada kumpulan di Gaza mengaku bertanggungjawab atas serangan roket, berlaku sejurus selepas pengebumian Razan al-Najjar, 21, sukarelawan Kementerian Kesihatan Gaza yang ditembak di dada berhampiran Khan Yunis kelmarin. -AFP

Kredit: Bharian

No comments:

Powered by Blogger.
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close