KUCHING - Seorang warga emas maut apabila terperangkap selepas bahagian dapur rumah yang didiaminya runtuh secara tiba-tiba di Lorong Teruntum 2 Wawasan Jaya, Kampung Semariang Batu di sini kira-kira jam 7.25 pagi ini.
Pusat Gerakan Bomba Sarawak berkata, Hajijah Mahtar, 72, disahkan meninggal dunia oleh pihak Jabatan Kesihatan akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.
“Rumah itu adalah jenis struktur tidak kekal berukuran 30 kaki x 15 kaki (9 x 4.6 meter) dan dianggarkan telah runtuh 30 peratus pada bahagian dapur. Kejadian dipercayai berlaku kerana struktur rumah yang usang,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Petra Jaya diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Awang Affendi Awang Daud terlibat dalam operasi mengeluarkan warga emas itu dari runtuhan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan